Monday 21 February 2011

HURAIAN

HURAIAN

PERANAN  DAN  KEGIATAN  AGAMA  DI  MASJID  DI  KARIAH  SAYA
SEJARAH  PENUBUHAN  MASJID  AT-TAQWA,  TAMAN  BERTAM  INDAH,  KEPALA  BATAS,  PULAU  PINANG.



          Masjid At-Taqwa,  terletak betul-betul bersebelahan dengan Taman Bertam Indah Fasa 6, iaitu tempat tinggal saya di Kepala Batas, Seberang Perai Utara – Pulau Pinang. Lokasi masjid ini juga bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan  Bertam Indah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Indah. Kariah Masjid At-Taqwa ini meliputi kawasan Taman Bertam Indah Fasa 3 hingga ke Fasa 6.  Menurut saudara Hasbullah Bin Abu Hasan @ Hassan yang merupakan bilal Masjid At-Taqwa, masjid ini telah dibina dan siap digunakan pada sekitar awal tahun 2007. Menurut saudara Hasbullah dan beberapa sahabatnya lagi memberitahu bahawa sebelum perangkaan masjid At-Taqwa ini, masyarakat dan komuniti di kariah ini menjadikan Surau At-Taqwa sebagai tempat mereka untuk beribadah dan menjadi satu-satunya nadi yang menjadi institusi keagamaan bagi masyarakat terdekat yang mendiami kawasan ini. Surau At-Taqwa ini berkedudukan benar-benar setentang dengan Masjid At-Taqwa iaitu di sebelah jalan yang lain. Saiz surau At-Taqwa ini agak kecil jika dibandingkan dengan saiz Masjid At-Taqwa yang baru dibina ini. Di dalam surau At-Taqwa, pintu surau yang berada di bahagian tengah pada masa ini, sebenarnya masa dahulunya merupakan dinding dan pintu asal bagi muslimin adalah di bahagian tempat wuduk. Oleh itu, terdapat kesukaran kepada jemaah untuk melaluinya apabila imam telah memulakan solat. Jadi, pintu di bahagian tengah surau dibina untuk kemudahan para jemaah. Pada masa tersebut mikrofon dan sistem pembesar suara tidak seperti sekarang ini yang serba lengkap. Pada masa itu, surau tersebut hanya menggunakan “portable microphone” iaitu alat pembesar suara yang hanya mampu untuk didengari di sekitar surau sahaja. Permaidani surau, kipas angin semuanya pada masa itu belum ada lagi. Pada masa yang sama, satu gerak kerja surau telah diwujudkan oleh muslimin dan muslimat.

           Kemudian, pada awal tahun 2007, selepas bangunan Masjid At-Taqwa siap terbina, segala kegiatan agama mula beroperasi dan beralih tempat ke masjid tersebut. Walau bagaimanapun, Surau At-Taqwa tinggal ditinggalkan begitu sahaja. Komuniti Taman Bertam Indah Fasa 5 yang tinggal berhampiran dengan Surau At-Taqwa masih mengelolakan hal-hal pengurusan di surau tersebut bahkan surau tersebut masih berdiri megah dan bergerak aktif walaupun adanya Masjid At-Taqwa. Selepas beberapa bulan Masjid At-Taqwa mula beroperasi, asas surau mula hampir lengkap, adanya permaidani, kipas dan pembesar suara dan seterusnya hingga kini yang lengkap dengan penghawa dingin.
 
          Struktur dan kelengkapan masjid ini adalah masjid ini mempunyai dua  kubah besar berwarna keemasan yang mempunyai lambang bulan sabit yang menjadi lambang keislaman. Di dalam masjid mempunyai sebuah mimbar, tempat persalinan, terdapat juga sebuah perpustakaan yang mempunyai pelbagai buku-buku ilmiah dan berbentuk keislaman seperti Majalah Solusi dan sebagainya untuk menjadi santapan jemaah-jemaah yanh hadir ke sini. Terdapat juga tempat solat tambahan bagi menampung jemaah yang di luar dugaan di samping mempunyai dua bilik air lelaki dan perempuan. Tidak lupa juga terdapat dapur yang dilengkapi peralatan memasak serta sebuah stor bagi menyimpan perkakasan masjid seperti periuk belanga, kuali, pinggan mangkuk serta pelbagai lagi peralatan masjid untuk digunakan apabila tiba masa untuk menjalankan Majlis As-Syura atau kenduri-kenduri anjuran masjid ini. Tidak ketinggalan juga, masjid ini menyediakan kemudahan seperti tempat memandikan jenazah dan sebuah van jenazah bagi memudahkan penduduk kampung menguruskan jenazah.  

          Masjid At-Taqwa juga mempunyai tempat meletak kenderaan yang luas yang berbumbung yang berdekatan dengan Kafe Kotaqwa untuk memudahkan para jemaah untuk beristirehat sebentar. Di luar masjid ini, terdapat juga sebuah papan kenyataan besar bagi menyampaikan segala maklumat dan informasi berkaitan kegiatan masjid serta sering dilampirkan organisasi masjid agar mudah untuk dihubungi serta iklan-iklan ceramah yang akan dianjurkan pada setiap minggu untuk menarik komuniti daripada semua lapisan umur untuk turut serta. Masjid juga dilengkapi dengan pembesar suara dan sistem audio yang baik.


No comments:

Post a Comment